About Me

saya sayangkan UMNO serta kerajaan yang ada

Monday, April 5, 2010

MESEJ DARI KETUA MENTERI MELAKA....



Kemajuan negeri Melaka masakini akan dilaksanakan dengan lebih teratur bagi menjamin kejayaan dalam melaksanakan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) pada tahun 2008. Antara langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri Melaka adalah dengan menubuhkan Badan Bertindak Pelaksanaan Negeri (DASAR) bagi membantu melancarkan perlaksanaan projek-projek pembangunan di negeri ini.

Penubuhan DASAR adalah bertujuan memantau projek-projek pembangunan bagi memastikan ianya berjalan lancar, sekaligus merealisasikan hasrat kerajaan untuk melihat kejayaan dalam setiap projek yang dilaksanakan.

Pengwujudan DASAR juga selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Melaka Maju menjelang 2010.

“Usaha lebih gigih dan berterusan perlu dilakukan oleh semua pihak dari masa kesemasa bagi memastikan projek-projek pembangunan di negeri ini berjaya dilaksanakan,’’

Kerajaan negeri juga, telah menggunakan 52 indikator bagi mengukur kualiti hidup rakyat negeri ini dalam menentukan kemajuan negeri ini yang sehingga kini telahpun mencapai 74.5 peratus daripada sasaran yang ditetapkan.

Melaka memperuntukkan jumlah yang besar iaitu sebanyak RM3.68 billion daripada RM3.97 billion yang diterima dalam RMK9 untuk pelaksanaan projek-projek pembangunan di negeri ini.

Selain projek-projek pembangunan, kerajaan negeri turut memberi perhatian serius dalam pembangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) bagi tujuan menjadikan masyarakat Melaka sebuah masyarakat yang berilmu.

Pembangunan dalam sektor ICT di Melaka semakin berkembang pada kadar yang amat pesat sekali hasil sumbangan dan usaha berterusan oleh kerajaan negeri bagi membangun dan memajukan bidang ICT ini di Melaka.

Penubuhan Jabatan E-Ekonomi di Jabatan Ketua Menteri jelas membuktikan komitmen kerajaan negeri ke arah memajukan bidang ICT, terutamanya dalam menjadikan masyarakat Melaka sebuah masyarakat yang celik IT.

Justeru, pelancaran MSC Malaysia Cybercentre @ MITC Melaka oleh Perdana Menteri sekaligus memperlihatkan kesungguhan kerajaan negeri mewujudkan masyarakat Melaka yang celik IT.

Kesungguhan kerajaan negeri dalam bidang ini dapat dilihat dari kejayaan program e-Melaka yang bertujuan memberi pendedahan serta latihan komputer kepada suri rumah dan warga pencen di negeri ini.

Ini kerana sebagai satu bidang yang berteknologi tinggi serta berasaskan pengetahuan, kemajuan dalam bidang ICT akan mampu memacu Melaka kearah status negeri maju selain meningkatkan taraf kehidupan rakyat Melaka amnya.

Maka oleh yang demikian, kesudian lapan buah syarikat ICT bertaraf antarabangsa telah bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memajukan bidang tersebut, dimana kelapan-lapan buah syarikat tersebut telah membuka pejabat mereka di Cybercentre untuk memberikan perkhidmatan berkaitan ICT, kepada para pengguna, khususnya rakyat negeri ini.

Lebih daripada itu, bagi mengembangkan lagi bidang ICT dan memantapkan pentadbiran kerajaan negeri, Melaka telah membangunkan projek Hang Tuah Jaya sebagai bandar pentadbiran pintar bertaraf dunia.

Pelancaran projek merupakan mercu tanda baru Melaka Bersejarah ini turut disempurnakan oleh Perdana Menteri.

Pembangunan Hang Tuah Jaya, sedikit sebanyak berasaskan pembangunan yang dilakukan ke atas Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

Dengan penyediaan pelbagai kemudahan yang tertaraf antarabangsa, ianya juga disasarkan sebagai sebuah bandar yang ideal untuk dijadikan sebagai tempat tinggal, bekerja, belajar dan berinteraksi.

Kerajaan negeri menubuhkan Perbadanan Hang Tuah Jaya (PHTJ) bagi mentadbir dan mengurus kawasan terbabit seluas 35,733.04 ekar termasuk 39.87 peratus, atau 14,247.76 ekar, terletak di dalam sebahagian daerah Melaka Tengah.

Daerah Jasin pula merupakan kawasan yang kedua terbesar iaitu seluas 12,859.79 ekar atau 35.99 peratus dari keluasan kawasan Hang Tuah Jaya. Sebahagian lagi membabitkan daerah Alor Gajah.

Anggaran penduduk tahun 2006 dalam kawasan PHTJ adalah seramai 114,732 orang iaitu daerah Melaka Tengah seramai 98,742 orang, daerah Alor Gajah seramai 7,584 orang dan daerah Jasin seramai 8,406 orang.

Gunatanah pertanian masih merupakan gunatanah dominan di kawasan Hang Tuah Jaya dengan peratusan sebanyak 53.76% (19,208.51 ekar). Gunatanah utama yang lain adalah meliputi gunatanah perumahan (23.18%), institusi (6.05%), perindustrian (3.68%) dan perniagaan (2.22%).

Mengikut pelan konsep PHTJ, keseluruhan kawasannya akan dibahagikan mengikut zon, yang meliputi zon pentadbiran (yang berpusat di kawasan bangunan Seri Negeri di Ayer Keroh), pelancongan, I-Village, tele-suburb, bandar lapangan terbang, bandar perubatan, bandar perniagaan, zon enterprise, hub pendidikan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D), bio-valley, taman memorial serta lebuhraya dan jalanraya.

Tumpuan kerajaan negeri dalam bidang pertanian pula membuktikan pimpinan kerajaan tidak pernah mengabaikan nasib golongan petani malah pelbagai usaha dilakukan untuk meningkatkan taraf hidup dan menambahkan pendapatan mereka.

Ladang Mangga Melaka Delight di Kampung Gelam, di sini, yang akan turut di lawati Perdana Menteri memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam memberi galakan kepada golongan petani mengusahakan tanah-tanah terbiar.

Kerajaan Negeri yang begitu prihatin dengan golongan petani sentiasa mengingatkan mereka supaya menggunakan setiap inci tanah yang ada dengan pelbagai projek yang boleh memberikan pulangan lumayan.

Setakat ini terdapat 102 pengusaha yang digabungkan di bawah Petaniaga Sdn Bhd dan mereka mempunyai pegangan saham mengikut kemampuan masing-masing.

Begitu juga dengan negeri Melaka, yang semakin hari semakin menempah nama di persada antarabangsa selaras dengan usaha kerajaan negeri mempromosikan Melaka ke seluruh pelusuk dunia.

Sekian, terima kasih.

YAB DATUK SERI HAJI MOHD ALI BIN MOHD RUSTAM
KETUA MENTERI MELAKA

No comments:

Post a Comment